Ghana Pecat Ketua Jurulatih 72 Hari Sebelum Piala Dunia
Hafiz Omar

Pasukan yang telah mengesahkan tempat ke Piala Dunia FIFA 2026, Ghana bertindak memecat ketua jurulatihya iaitu Otto Addo dalam keadaan pertandingan bola sepak paling berprestij dunia itu bakal membuka tirainya dalam masa 72 hari lagi.
Pemecatan itu hadir selepas Ghana yang menghuni ranking ke-74 dunia tewas 1-2 kepada Jerman dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stuttgart, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Mereka tewas hasil jaringan Kai Havertz (45’+3) dan Deniz Undav (88’). Manakala jaringan tunggalnya hadir menerusi Abdul Fatawu (70’).
“Persatuan Bola Sepak Ghana (GFA) telah berpisah dengan Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan senior (Black Stars), Otto Addo berkuat kuasa serta-merta.”
“Persatuan merakamkan penghargaan setulus ikhlas kepada Otto Addo atas sumbangannya kepada pasukan dan mendoakan kejayaannya di masa akan datang,” tulis GFA menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasminya.
Otto, 50 tahun, mula dilantik sebagai ketua jurulatih Ghana pada Mac 2022 hingga November 2022. Selepas itu, khidmatnya dipancing sekali lagi oleh GFA bermula Mac 2024.
Ghana bimbingan Otto berhasil meraih tiket ke Piala Dunia 2026 selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Comoros dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan peringkat Kumpulan I.
Kemenangan itu membolehkannya muncul juara Kumpulan I dengan pungutan 25 mata hasil merekodkan lapan kemenangan serta satu seri daripada sepuluh perlawanan.
Bagaimanapun, prestasi Ghana selepas berakhirnya pusingan kelayakan itu merudum dengan merekodkan empat kekalahan berturut-turut bermula dengan aksi bertemu Jepun, Korea Selatan, Austria dan terbaru, Jerman.
Featured Image: Ghana Football Association