Itali Gagal Ke Piala Dunia Tiga Kali Berturut-Turut

April 1, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara dunia sebanyak empat kali, Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA buat kali ketiga berturut-turut apabila tewas di tangan Bosnia & Herzegovina dalam perlawanan akhir play-off, pagi tadi (waktu Malaysia).

Skuad bimbingan Gennaro Gattuso itu bermula garang dengan menjaringkan gol pembukaan menerusi Moise Kean seawal minit ke-15. Pendahuluan itu bertahan sekitar satu jam sahaja sebelum Bosnia & Herzegovina berhasil menyamakan kedudukan melalui Haris Tabakovic pada minit ke-79.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat 120 minit masa permainan termasuk masa tambahan memaksa pengadil, Clement Turpin mengarahkan pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Peluang Itali ke Piala Dunia yang akan berlangsung di benua Amerika Utara kali ini hancur berkecai apabila sepakan penalti itu berkesudahan dengan keputusan 1-4.

Daripada tiga percubaan yang diberikan kepada Itali, hanya sepakan oleh Sandro Tonali sahaja yang berhasil masuk ke dalam gawang sementara tendangan oleh Pio Esposito dan Bryan Cristante tersasar.

Manakala empat percubaan oleh Bosnia & Herzegovina pula disempurnakan dengan cemerlang oleh Benjamin Tahirovic, Haris Tabakovic, Kerim Alajbegovic dan Esmir Bajraktarevic.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Bosnia & Herzegovina melayakkan diri ke Piala Dunia dalam sejarah selepas beraksi buat julung kalinya pada edisi 2014 di Brazil.

Featured Image: Nazionale Italiana di Calcio

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd