Gol Viktor Gyokeres Hantar Sweden Ke Piala Dunia

April 1, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jaringan oleh penyerang Arsenal, Viktor Gyokeres pada minit ke-88 ketika bertemu Poland pada pagi tadi melayakkan Sweden beraksi di Piala Dunia FIFA 2026 yang akan berlangsung Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada Jun kelak.

Penyerang berusia 27 tahun itu mengambil peluang merembat masuk bola ke dalam gawang yang dikawal Kamil Grabara setelah tiga percubaan sebelumnya berhasil dihadang, ditepis dan terkena tiang.

Jaringan itu meletakkan Sweden bimbingan Graham Potter mendahului 3-2 ke atas Poland sehingga pengadil perlawanan, Slavko Vincic dari Slovenia meniup wisel menamatkan permainan.

Sebelum itu, Sweden dan Poland saling berbalas gol bermula dengan jaringan oleh Anthony Elanga (19’) dan disamakan oleh Nicola Zalewski (33’). Selepas itu, Sweden kembali di hadapan menerusi Gustaf Lagerbielke (44’) dan diikat semula oleh Karol Swiderski (55’).

Kemenangan itu membolehkan mereka kembali ke pentas Piala Dunia selepas terlepas edisi tahun 2022 yang berlangsung di Qatar.   

Kemenangan ke atas Poland pada hari ini bertambah manis dimana ianya turut menjadi episod balas dendam dimana Poland turut mengalahkan mereka dalam pusingan akhir play-off yang sama pada edisi lalu.

Featured Image: Svensk Fotboll

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd