Ranking FIFA: Filipina Pintas Malaysia

April 2, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan mengalami kejatuhan tiga anak tangga lagi dalam Ranking Dunia selepas terjunam sebanyak 14 anak tangga pada minggu lalu susulan hukuman diisytiharkan kalah 3-0 dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia AFC 2027.

Hukuman itu dikenakan oleh AFC selaku penganjur setelah mendapati Malaysia menurunkan pemain naturalisasi yang tidak layak ketika bertemu Nepal dan Vietnam pada Mac dan Jun masing-masing tahun lalu.

Kemaskini pada Rabu menempatkan Malaysia kini di tangga ke-138 dunia dengan pungutan 1086.22 mata.

Penurunan itu turut disumbangkan dengan kekalahan 1-3 anak-anak buah Peter Cklamovski ketika turun bertemu Vietnam dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan F di Stadium Thien Truong pada Selasa lalu.

Penurunan itu turut menyaksikan seteru serantau iaitu Filipina yang kini berada di tangga ke-135 dunia memintas Malaysia sekaligus meletakkan dirinya selaku pasukan No.4 asia tenggara.

Kemaskini itu turut menyaksikan Thailand mengukuhkan statusnya sebagai pasukan No.1 asia tenggara dengan merekodkan kenaikan tiga anak tangga dan menghuni kedudukan ke-93 dunia.

Ianya diikuti dengan Vietnam yang kembali dalam kelompok 100 terbaik dunia dengan menduduki ranking ke-99 dunia – meningkat sembilan anak tangga.

FIFA memaklumkan akan melakukan kemaskini yang berikutnya pada 10hb Jun 2026.

Featured Image: Malaysia NT

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd