Harry Maguire Terus Beraksi Bersama Man Utd Sehingga Jun 2027
Hafiz Omar
Pertahanan kental berusia 33 tahun, Harry Maguire akan terus menyarung jersi merah Manchester United (Man Utd) sehingga ke penghujung musim 2026-27.
Perkembangan ini hadir selepas skuad berjulukan The Red Devils itu mengumumkan bahawa anggota skuad kebangsaan England itu telah menandatangani kontrak lanjutan selama setahun. Ianya turut disertakan pilihan lanjutan selama setahun.
Untuk makluman, kontrak semasanya bersama Man Utd akan tamat di penghujung musim ini.
“Mewakili Manchester United merupakan satu penghormatan tertinggi. Ianya merupakan satu tanggungjawab yang membuatkan diri saya dan keluar berbangga setiap hari.”

“Saya berbesar hati untuk melanjutkan perjalanan di kelab yang luar biasa ini kepada sekurang-kurangnya lapan musim dan terus beraksi di hadapan penyokong-penyokong istimewa kita untuk mencipta lebih banyak pengalaman mengagumkan bersama.”
“Anda boleh merasai keinginan dan potensi skuad yang mengujakan ini. Keazaman seluruh kelab berjuang merebut trofi utama dapat dilihat oleh semua orang dan saya yakin detik terbaik kita bersama menanti di masa hadapan.” katanya seperti dipetik daripada laman rasmi kelab Liga Perdana (PL) tersebut.
Sejak menyertai Man Utd pada tahun 2019 pada tanda harga £80 juta, satu rekod perpindahan bagi pertahanan tengah di masa itu, Maguire telah melakukan 266 penampilan dalam pelbagai pertandingan.
Bukan itu sahaja, Maguire yang sebelum itu beraksi bersama Leicester City menjadi tunjang Man Utd dalam merangkul kejuaraan Piala Liga 2022-23 dan Piala FA pada musim berikutnya.
Featured Image: Manchester United