Kenali Marie-Louise Eta: Ketua Jurulatih Wanita Pertama Bundesliga
Hafiz Omar

Marie-Louise Eta mencipta sejarah sebagai jurulatih wanita pertama dilantik sebagai ketua jurulatih bagi kelab yang beraksi dalam Bundesliga selepas FC Union Berlin memilihnya untuk menggantikan pengendali sebelumnya, Steffen Baumgart.
Bagaimanapun, pelantikan itu bersifat sementara sehingga berakhirnya musim ini. Bermula musim panas kelak, Eta akan mengendalikan skuad wanita senior walau apa pun pencapaian bersama Union Berlin di penghujung musim kelak.
Union Berlin yang kini menduduki tangga kesebelas liga melepaskan Baumgart serta penolongnya, Danilo de Souza daripada tugasnya susulan prestasi yang tidak memberangsangkan pada pusingan kedua liga – hanya merekodkan dua kemenangan daripada 14 perlawanan sejak rehat musim sejuk.
Pada masa yang sama, situasi itu tidak memberikan keyakinan buat kelab yang terletak di timur Jerman itu untuk mengesahkan tempat dalam saingan Bundesliga musim hadapan sekaligus memaksa mereka untuk memulakan permulaan yang baharu.
#1 Biodata Marie-Louise Eta
Marie-Louise Eta merupakan kelahiran Dresden, Jerman pada 7hb Julai 1991 dan kini berusia 34 tahun. Sebelum berkecimpung dalam arena kejurulatihan bola sepak, Eta pernah bergelar pemain dengan menyertai beberapa kelab seperti Turbine Potsdam, Hamburg, Cloppenburg dan Werder Bremen sebelum bersara sebagai pemain pada musim 2017-18 ketika berusia 26 tahun.

#2 Pencapaian Sebagai Pemain
Ketika berusia 17 tahun, Eta berjaya menembusi skuad senior Potsdam untuk mengharungi kempen musim 2008-09. Dia berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Wanita UEFA 2009-10 selepas mengalahkan Lyon menerusi penalti dalam perlawanan akhir. Selain itu, Eta turut membantu kelab itu merangkul tiga kejuaraan Bundesliga berturut-turut dari 2009 hingga 2011.

#3 Karier Sebagai Jurulatih
Selepas mengumumkan persaraannya sebagai pemain, Eta memasuki bidang kejurulatihan dengan segera bersama Werder Bremen. Dia bermula dengan menyertai barisan kejurulatihan skuad lelaki bawah 15 tahun (B-15) sebelum dilantik sebagai penolong kepada Bettina Wiegmann dalam skuad kebangsaan wanita Jerman B-15.
Sesudah menamatkan lesen kejurulatihan profesionalnya di Akademi Persatuan Bola Sepak Jerman, khidmat Eta dipindahkan ke skuad wanita Jerman B-17.
Pada musim panas 2023, Union Berlin menyunting khidmatnya dan dijadikan sebagai pembantu buat Marco Grote bagi skuad lelaki B-19. Selepas Urs Fischer meninggalkan pasukan di penghujung 2023, mereka diberikan peranan untuk mengemudi skuad berkenaan buat sementara waktu.
Selepas setahun meninggalkan Union Berlin, Eta kembali semual ke kelab berkenaan pada musim panas 2025 dan diberikan peranan sebagai ketua jurulatih skuad lelaki B-19.
Featured Image: FC Union Berlin