AFC Cadang ACLE Tambah 8 Slot Bermula Musim 2026-27
Hafiz Omar

Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bola Sepak (AFC) mengesyorkan satu siri penambahbaikan strategik terhadap pertandingan kelab terulung benua anjurannya, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Syor itu terdiri daripada peralihan kepada format 32 pasukan bermula musim 2026-27 – pertambahan sebanyak lapan slot berbanding format semasa.
Menerusi cadangan peralihan itu, setiap saingan Peringkat Liga (League Stage) samada rantau timur atau barat akan disertai 16 buah pasukan masing-masing.
Laluan untuk ke Peringkat Kalah Mati turut diperbaharui. Pasukan yang menduduki tempat pertama hingga keenam setelah berakhirnya saingan Peringkat Liga samada rantau timur atau barat akan layak ke pusingan 16 secara automatik.
Manakala pasukan yang menamatkan Peringkat Liga di kedudukan ketujuh hingga kesepuluh akan ke aksi play-off untuk merebut baki dua slot ke pusingan 16 bagi setiap rantau.
🔹 Expansion of teams in League Stage
🔹 Knockout Stage PlayoffAFC Competitions Committee recommends series of strategic enhancements to #ACLElite https://t.co/t4oMFFWfnF
— #ACLElite | #ACLTwo (@TheAFCCL) April 14, 2026
Menariknya, pasukan ketujuh dan kelapan akan diberikan kelebihan untuk beraksi di laman sendiri.
Namun begitu, Jawatankuasa Pertandingan AFC memaklumkan perlawanan play-off tidak akan dilaksanakan pada musim 2026-27 susulan jadual pertandingan global yang padat pada ketika ini.
Ianya dijadualkan untuk diperkenalkan pada musim-musim akan datang.
Pada masa yang sama, cadangan ini perlu disahkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC sebelum dikuatkuasakan.
AFC menegaskan perluasan daripada 24 kepada 32 pasukan untuk beraksi di pentas ACLE ini mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan platform pertandingan bola sepak benua yang lebih inklusif dan berdaya maju daripada segi komersil.
Menarik untuk disaksikan liga manakah yang akan mendapat pertambahan slot ke saingan ACLE berikutan cadangan perluasan format penyertaan 32 buah pasukan ini.
Sebagai rekod, Liga Malaysia pada ketika ini hanya diberikan satu slot secara automatik ke saingan ACLE.
Featured Image: AFC