UCL: Atletico Madrid Ke Separuh Akhir Selepas 9 Tahun

April 15, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penghuni tangga keempat La Liga, Atletico Madrid mengesahkan tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas berhasil menyingkirkan FC Barcelona pada peringkat suku akhir.

Biarpun mengalami kekalahan 1-2 pada aksi timbal balik di lamannya sendiri pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) namun skuad bimbingan Diego Simeone itu melangkah ke peringkat seterusnya menerusi agregat 3-2.

Aksi timbal balik itu bermula dengan Barcelona terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke-4 menerusi Lamine Yamal. Selang 20 minit kemudian, Ferran Torres menyumbat satu lagi gol untuk meletakkan Barcelona 2-0 di hadapan.

Pada minit ke-31, Atletico berhasil mengurangkan jurang dengan Ademola Lookman menggegarkan jaring lawan selepas menyudahkan hantaran lintang daripada Marcos Llorente.

Kedudukan itu, agregat 3-2 berkekalan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Barcelona cuba menambah jaringan untuk menjadikan agregat 3-3 akan tetapi usaha itu dipatahkan oleh pengadil, Clement Turpin apabila melayangkan kad merah kepada Eric Garcia pada minit ke-79 sekaligus memaksa mereka bermain dengan 10 orang sahaja. 

Kad itu dilayangkan selepas Eric mengasari penyerang, Alexander Sorloth.

Sebagai rekod, ini merupakan kemaraan pertama Atletico ke peringkat separuh akhir UCL selepas sembilan tahun. Kali terakhir mereka beraksi di peringkat itu adalah pada musim 2016-17.

Pada saat itu, hasrat mereka untuk ke perlawanan akhir disekat oleh Real Madrid selepas tewas dengan agregat 2-4. 

Featured Image: Atletico de Madrid

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd