UCL: Bayern Munich Singkir Raja Eropah

April 16, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab handalan Jerman, Bayern Munich mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas menyingkirkan pemenang terbanyak, Real Madrid dalam perlawanan yang penuh mendebarkan pada awal pagi tadi waktu Malaysia.

Aksi timbal balik yang berlangsung di lamannya, Allianz Arena bermula dengan Real Madrid membuka jaringan menerusi Arda Guller seawal minit pertama sebelum Bayern pantas menyamakan kedudukan melalui Aleksandar Pavlovic berselang lima minit kemudian.

Selepas itu, Guller sekali lagi meletakkan Real Madrid dihadapan menerusi sepakan percuma pada minit ke-29 akan tetapi kedudukan itu disamakan semula oleh penyerang prolifik, Harry Kane pada minit ke-38.

Bagaimanapun, sebelum separuh masa pertama melabuhkan tirainya, Real Madrid berhasil menjaringkan satu lagi gol menerusi ayam tambatannya, Kylian Mbappe lantas menjadikan kedudukan semasa  2-3. 

 

View on Threads

 

Bersambung separuh masa kedua, dalam keadaan agregat 4-4, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan untuk mendapatkan jaringan yang seterusnya.

Namun minit ke-86 menjadi titik perubahan dalam perlawanan ini apabila pengadil dari Slovenia, Slavko Vincic melayangkan kad kuning kedua kepada Eduardo Camavinga susulan kekasaran terhadap Kane.

Layangan kad itu disusuli dengan kad merah sekaligus memaksa anak-anak buah Alvaro Arbeloa beraksi dengan 10 pemain sahaja dan berselang tiga minit kemudian Bayern menyumbat satu lagi gol melalui Luis Diaz.

Ketika dalam masa kecederaan, Bayern menyudahkan satu lagi peluang dengan bergaya menerusi Michael Olise pada minit ke-90+4 selepas melancarkan serangan balas pantas.

Kedudukan 4-3 daripada perlawanan itu dan agregat 6-4 berkekalan sehingga pengadil meniup wisel menamatkan permainan sekaligus menghantar Bayern ke peringkat separuh akhir untuk bertemu juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).

Selepas pengadil meniup wisel, berlaku kekecohan dan Guller turut dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Featured Image: Bayern Munich

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd