Aiyawatt Srivaddhanaprabha Mohon Maaf Leicester City Terjerumus Ke Divisyen Ketiga
Hafiz Omar
Pengerusi Leicester City FC, Aiyawatt Srivaddhanaprabha memohon maaf secara terbuka kepada para penyokong selepas skuad berjulukan The Foxes itu disahkan tersingkir daripada Liga Kejuaraan dan terpaksa beraksi di Liga Satu, musim hadapan.
Leicester yang menggegarkan dunia bola sepak apabila menjuarai Liga Perdana (PL) 2015-16 terjerumus selepas gagal mencatatkan kemenangan bertemu Hull City, awal pagi tadi.
Anak-anak buah Garry Rowett diikat Hull City dengan keputusan 2-2 sekaligus menyaksikan mereka sekadar mengumpul 42 mata daripada 44 perlawanan.
Biarpun masih berbaki dua perlawanan lagi bagi musim ini, Leicester sudah tidak mampu mengeluarkan dirinya daripada zon penyingkiran – mengatasi pasukan di tangga ke-21, Blackburn Rovers yang mempunyai 49 mata.
“Penyingkiran ke Liga Satu kini telah disahkan. Sebagai Pengerusi, saya mengambil tanggungjawab itu. Tiada alasan.”

“Kami telah melalui detik tertinggi dan sekarang titik paling rendah, dan kesedihan itu dikongsi oleh semua. Saya benar-benar memohon maaf atas kekecewaan yang kami timbulkan. Saya memahami perasaan dalam kalangan penyokong dan kami tidak mengambil mudah sokongan anda, terutamanya pada saat-saat begini.” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasminya.
Pada masa yang sama, ahli perniagaan dari Thailand merangkap Pengerusi OH Leuven itu turut memaklumkan akan mengambil langkah yang sepatutnya untuk memperkasakan semula Leicester City.
“Tumpuan kami pada ketika ini adalah pada langkah seterusnya. Kami akan mengambil keputusan yang patut untuk memajukan kelab, bekerjasama untuk membina semula kelab, dan memulihkan jangkaan piawaian Leicester City. Objektif kami adalah jelas – untuk bangkit dengan lebih kuat dan bersaing untuk memacu semula kelab ke hadapan.” tambahnya.
Featured Image: Leicester City FC