Bubbles O2, Negeri Sembilan FC Bekerjasama Selama 3 Tahun

April 22, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jenama air mineral beroksigen semula jadi, Bubble O2 memperkukuhkan komitmennya dalam pembangunan serta arena bola sepak tempatan apabila tampil bekerjasama dengan Negeri Sembilan Football Club (NSFC), pada hari ini.

Kerjasama bagi tempoh 3 tahun itu meletakkan Bubble O2 sebagai rakan strategik dalam menyokong pembangunan sukan secara menyeluruh, melangkaui penajaan semata-mata kepada usaha membina ekosistem bola sepak yang lebih mampan dan berdaya saing.

Perkembangan ini menyaksikan Bubbles O2 akan memainkan tiga peranan utama bersama NSFC iaitu sebagai Rakan Air Mineral Beroksigen Semula Jadi, penaja venue melalui PBNS Bubble O2 Arena dan Penaja Penamaan Rasmi bagi Liga Premier Negeri Sembilan.

Sebagai Rakan Rasmi Air Mineral Beroksigen Semula Jadi, Bubbles O2 akan memastikan hidrasi pasukan sentiasa berada pada tahap optimum. Sementara itu, penjenamaan PBNS Bubbles O2 Arena mengukuhkan kehadiran jenamanya sebagai sebahagian daripada identiti pasukan.

Manakala hak penamaan liga, Bubbles O2 Liga Premier Negeri Sembilan memperkukuhkan platform sedia ada dan menyokong pembangunan bakat baharu di peringkat negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bubbles O2, Encik Abdul Aziz Arifin berkata, kerjasama ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuhkan peranan syarikat dalam pembangunan sukan tempatan.

“Sebagai syarikat yang beroperasi di Rantau, Negeri Sembilan, kami melihat kerjasama ini sebagai satu tanggungjawab untuk kembali berkhidmat kepada komuniti setempat.”

“Ini bukan sekadar simbolik penyerahan cek tajaan, tetapi merupakan komitmen jangka panjang dalam menyokong pembangunan sukan, khususnya bola sepak di Negeri Sembilan. Kami percaya bahawa sukan bukan sahaja menyatukan rakyat, tetapi juga menjadi platform penting dalam membentuk disiplin dan jati diri generasi muda,” katanya.

Untuk makluman, kerjasama itu dimeterai dalam Majlis Penyerahan Cek Tajaan di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri dengan disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi NSFC, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Turut hadir adalah Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Dato’ Arifin Marzuki bersama Pengarah Urusan, Ain Azizah Arifin serta barisan kepimpinan NSFC termasuk CEO NSFC, Faliq Firdaus.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan FC menjadi kelab bola sepak tempatan kedua yang memeterai kerjasama strategik dengan Bubbles O2 selepas Terengganu FC pada Ogos tahun lalu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd