Tandatangan Kontrak Hingga 2032, Berpisah Selepas 14 Minggu
Hafiz Omar

Liam Rosenior yang menandatangani kontrak jangka masa panjang, sehingga tahun 2032, bersama Chelsea FC ditunjukkan jalan keluar selepas 14 minggu bersama.
Menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada awal pagi tadi (waktu Malaysia), kelab berjulukan The Blues itu mengumumkan berpisah dengan pengendali berusia 41 tahun berkenaan.
Perpisahan itu hadir selepas Chelsea mengalami lima kekalahan berturut-turut bertemu Everton, Port Vale, Manchester City, Manchester United dan Brighton and Hove Albion.
Menambahkan lagi rekod buruk itu, Chelsea turut mengalami tujuh kekalahan daripada lapan perlawanan terakhirnya dalam pelbagai pertandingan samada domestik mahupun antarabangsa.
Secara keseluruhannya, Rosenior telah mengendalikan 23 perlawanan sejak menggalas jawatan ketua jurulatih Chelsea bermula 6hb Januari lalu.
Daripada jumlah perlawanan itu, Rosenior melakar sebelas kemenangan, dua keputusan seri dan mengalami sepuluh kekalahan.
“Ini bukan satu keputusan yang mudah buat Kelab, bagaimanapun keputusan dan prestasi akhir-akhir ini telah jatuh di bawah piawaian yang sepatutnya dengan banyak lagi perlawanan perlu dihadapi musim ini.”
“Semua orang di Chelsea FC mengucapkan selamat maju jaya buat Liam pada masa akan datang.” tulis kenyataan Chelsea.
Dalam kenyataan yang sama, Chelsea mengumumkan Calum McFarlane dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Jurulatih Sementara sehingga berakhirnya musim ini dengan sokongan daripada staf sokongan sedia ada.
Selain itu, Chelsea berkata akan bermuhasabah untuk melakukan lantikan jangka masa panjang yang tepat bagi membawa kestabilan kepada jawatan Ketua Jurulatih.
Featured Image: Chelsea Football Club