Man City Nombor 1, Arsenal Nombor 2

April 23, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara Liga Perdana empat kali berturut-turut, Manchester City (Man City) kembali ke posisi nombor satu liga musim ini selepas mencatatkan kemenangan tipis ke atas Burnley, awal pagi tadi.

Kemenangan hasil jaringan tunggal penyerang prolifiknya, Erling Haaland pada separuh masa pertama membolehkan skuad berjulukan The Cityzen berkongsi 70 mata serta jumlah perbezaan gol (GD) yang sama dengan pendahulu sebelum ini, Arsenal.

Bagaimanapun, pendahuluan Arsenal di puncak Liga Perdana (PL) sekitar 200 hari berturut-turut menemui penghujungnya pada hari ini apabila gol dijaringkan (GF) oleh Man City, 66 gol, melebihi jumlah yang direkodkan skuad bimbingan Mikel Arteta, 63 gol.

Perkembangan itu sudah pasti menambahkan sengit dan kehangatan perebutan mahkota kejuaraan PL musim ini dengan jangkaan juara akan ditentukan pada hari perlawanan terakhir. 

Untuk makluman, kedua-dua kelab mempunyai baki lima perlawanan masing-masing.

Man City akan bertemu Everton (5 Mei, laman lawan), Brentford (10 Mei, laman sendiri), Bournemouth (17 Mei, laman lawan), Crystal Palace (22 Mei, laman sendiri) dan Aston Villa (24 Mei, laman sendiri).

Manakala Arsenal pula akan berhadapan Newcastle (26 April, laman sendiri), Fulham (3 Mei, laman sendiri), West Ham United (10 Mei, laman lawan), Burnley (17 Mei, laman sendiri) dan Crystal Palace (24 Mei, laman lawan).

Featured Image: Manchester City

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd