FC Barcelona Hilang Khidmat Lamine Yamal Musim Ini 

April 24, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang mendahului saingan La Liga dengan kutipan 82 mata, FC Barcelona terpaksa akur terlepas khidmat ayam tambatannya, Lamine Yamal sehingga ke penghujung musim ini susulan kecederaan hamstring pada kaki kirinya.

Kecederaan itu menimpanya ketika turun beraksi menentang Celta Vigo di lamannya sendiri pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia). Sebelum wisel separuh masa pertama ditiup, Yamal tidak dapat meneruskan permainannya dan ditukarkan dengan Roony Bardghji. 

Menerusi satu kenyataan rasmi oleh pihak kelab, Yamal akan mengikuti kaedah rawatan konservatif dan terlepas baki saingan musim ini.

Namun begitu, kelab berpangkalan di Catalonia itu menjangkakan pemain berusia 18 tahun berkenaan bersedia untuk mewakili Sepanyol bagi beraksi di saingan Piala Dunia FIFA 2026 yang bermula pada Jun kelak.

Sepanjang musim ini, Yamal menjadi tonggak dan taruhan utama dalam perancangan Hansi Flick serta muncul sebagai penjaring terbanyak bagi bagi Barcelona dalam kancah La Liga dan Copa del Rey serta kedua tertinggi dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Secara keseluruhan, Yamal telah merekodkan 24 jaringan membabitkan kesemua pertandingan kompetitif samada domestik atau antarabangsa. 

Selain tajam dihadapan gawang, gerakan lincah dan umpanan Yamal turut membantu rakan sepasukannya menjaringkan gol. Berdasarkan rekod, Yamal telah mencipta 18 bantuan gol sehingga ke hari ini.

Untuk makluman, Barcelona yang telah mengharungi 32 perlawanan La Liga masih belum mengesahkan kejuaraannya dan kini dikejar oleh seteru rapatnya, Real Madrid yang mempunyai 73 mata.

Featured Image: FC Barcelona

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd