Inter Berpeluang Raih Gelaran Serie A Pada Isnin
Hafiz Omar

Internazionale Milano atau lebih dikenali sebagai Inter Milan berpeluang untuk mengesahkan kejuaraan Serie A jika mengekalkan rentak kemenangannya dan pada masa yang sama pencabarnya keciciran mata pada aksi ke-34 liga, minggu ini.
Skuad bimbingan Cristian Chivu yang memimpin carta Serie A dengan 78 mata bakal berhadapan kelab yang berada di tangga ke-12, Torino di tempat lawan pada awal pagi Isnin nanti.
Pencabar terdekatnya, AC Milan dan Napoli kini berkongsi 66 mata – ketinggalan 12 mata dengan Inter, menghuni tangga kedua dan ketiga masing-masing.
Napoli yang merupakan juara bertahan akan melayan kunjungan kelab yang sedang bertarung menjarakkan diri daripada zon penyingkiran, Cremonese pada awal pagi Sabtu.
Matchweek 34 👀🔥#SerieAEnilive pic.twitter.com/sCj5ZEWwY0
— Lega Serie A (@SerieA) April 24, 2026
Manakala AC Milan pula akan menerima kunjungan kelab tangga keempat, Juventus juga pada awal pagi Isnin.
Dalam dua perlawanan terakhir, Napoli kendalian Antonio Conte telah keciciran mata berikutan tewas kepada Lazio dan diikat oleh Parma.
Sementara itu, AC Milan pula hanya menemui rentak kemenangan bertemu Verona selepas tumpas di tangan Udinese pada aksi sebelumnya.
Jika Inter melakar kemenangan diikuti dengan Napoli dan AC Milan gagal mencatatkan kemenangan bertemu lawan masing-masing maka Nerazzurri akan merangkul gelaran Serie A buat kali ke-21 dalam sejarahnya dengan baki empat perlawanan.
Sebagai rekod, kali terakhir Inter merangkul gelaran Serie A adalah pada musim 2023-24.
Featured Image: Inter