Sivasangari Bangkit Daripada Ketinggalan, Juarai Piala Grasshopper 2026
Hafiz Omar
Perseorangan skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam mencipta kebangkitan yang menakjubkan dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) sekaligus meraih kejuaraan Piala Grasshopper 2026 – kejohanan tier emas dalam siri Jelajah Skuasy PSA.
Pemain kelahiran Kedah berusia 27 tahun berkenaan berhadapan pemain Jepun yang menghuni ranking ketujuh dunia, Satomi Watanabe.
Dalam aksi yang berlangsung di Zurich itu, Sivasangari yang berada di ranking keenam dunia terlebih dahulu mencatatkan kemenangan pada set pertama, 15-13. Akan tetapi Watanabe menyamakan kedudukan pada set kedua, 11-5, diikuti dengan mendahului pada set ketiga, 11-5.
Your 2026 @grasshopper_cup Champions 🏆🇨🇭
🇲🇾 @sangari_99🤝 @karimabdelgawad 🇪🇬
📝 https://t.co/yeO5eQVU4Q pic.twitter.com/1LER6BMTRZ
— PSA Squash Tour (@PSASquashTour) April 26, 2026
Susulan ketinggalan 1-2, Sivasangari bangkit pada set keempat untuk mencatatkan kemenangan menerusi skor 11-7 sebelum menamatkan pertarungan dengan memenangi set kelima, 11-8.
Pertarungan Sivasangari dan Watanabe itu berlangsung sengit selama 62 minit sebelum diketahui pemenangnya.
Kemenangan ini mengulangi skrip pada separuh akhir yang berlangsung pada awal pagi Ahad dimana Sivasangari mengetepikan pilihan No.1 kejohanan dari Mesir, Amina Orfi menerusi skor 11-7, 5-11, 8-11, 11-9, 11-5 dalam masa 81 minit.
Ini merupakan kejuaraan yang penuh bermakna buat Sivasangari selepas terlepas peluang untuk meraih gelaran juara Piala Grasshopper pada tahun lepas apabila tewas perlawanan akhir di tangan Nouran Gohar.
Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan kedua dirangkul Sivasangari bagi musim ini selepas menjuarai Terbuka Australia 2026 yang juga tier emas dalam Jelajah Skuasy PSA, pertengahan Mac lalu.
Featured Image: PSA Squash Tour