Piala Dunia: Pemain ‘Tutup Mulut’ Kena Kad Merah
Hafiz Omar

Saingan Piala Dunia FIFA 2026 kelak bakal menyaksikan satu peraturan baharu iaitu pemain yang menutup mulutnya ketika berlaku konfrontasi dengan pemain lawan akan dikenakan kad merah oleh pengadil.
Difahamkan, ini merupakan sebahagian daripada inisiatif baharu bagi membanteras isu perkauman di dalam padang semasa berlangsungnya perlawanan bola sepak.
Usul oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah diluluskan secara sebulat suara oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) dalam satu Mesyuarat Khas yang berlangsung di Vancouver, Kanada – salah satu bandar yang menjadi venue perlawanan Piala Dunia 2026.
At a Special Meeting held in Vancouver, Canada, @TheIFAB unanimously approved two FIFA-proposed Law amendments to address discriminatory and inappropriate behaviour.
— FIFA (@FIFAcom) April 28, 2026
IFAB meluluskan usul tersebut selepas FIFA mengepalai rundingan berkenaan dengan kesemua pemegang taruh.
Dalam Mesyuarat Khas yang sama, IFAB turut meluluskan satu lagi usul oleh FIFA iaitu layang kad merah kepada mana-mana pemain yang meninggalkan padang semasa permainan masih lagi berlangsung – protes kepada keputusan pengadil.
Dimaklumkan, hukuman itu juga boleh dikenakan kepada pegawai pasukan – ketua jurulatih dan staf kejurulatihan – yang mendorong atau menghasut pemain-pemain untuk meninggalkan padang.
Susulan daripada kelulusan dua peraturan baharu ini, FIFA berkata akan memaklumkannya kepada 48 pasukan yang menyertai Piala Dunia dalam beberapa minggu akan datang.
Featured Image: FIFA World Cup 2026