Tiada Perubahan, Malaysia Kekal Dapat 1 Slot Automatik Ke ACLE
Hafiz Omar

Malaysia kekal meraih slot tunggal secara automatik ke saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim hadapan biarpun penyertaan bagi saingan bola sepak terulung benua asia itu telah diperluaskan kepada 32 pasukan.
Terdahulu, Jawatankuasa Bola Sepak Profesional AFC telah membuat pindaan kepada Peraturan Penyertaan (Edisi 2025), merangkumi semakan terhadap pengagihan slot untuk Ahli Gabungan (MA) selaras dengan cadangan peluasan ACLE daripada 24 kepada 32 kelab.
Pengagihan slot itu, sepertimana dikongsikan menerusi infografik daripada AFC pada hari ini, menyaksikan Malaysia kekal meraih slot tunggal secara automatik.
Bukan sahaja tidak mendapat tambahan slot automatik terus ke peringkat kumpulan bahkan Malaysia juga tidak meraih sebarang pertambahan slot ke peringkat kelayakan.
The latest slot allocations for AFC Club Competitions in men’s football are revealed! pic.twitter.com/R4QA4wdOvE
— AFC (@theafcdotcom) April 30, 2026
Peluasan itu menyaksikan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Jepun, Republik Korea dan Thailand meraih tiga slot automatik masing-masing.
Dua slot automatik diberikan kepada Iran dan China masing-masing sementara Uzbekistan, Iraq, Australia termasuk Malaysia mendapat satu slot masing-masing.
Untuk slot ke peringkat kelayakan, Arab Saudi dan Jepun mendapat dua slot masing-masing dan UAE, Uzbekistan, Jordan, Republik Korea, Australia dan Vietnam mendapat satu slot masing-masing.
Menerusi perkembangan ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara Liga Super 2025-26 nampaknya kekal sebagai kelab tunggal dari Malaysia yang akan beraksi di ACLE 2025-26.
Featured Image: AFC