Kos Anjur SUKMA Dikurangkan RM50 Juta, Upacara Pembukaan Di Litar Sepang Batal

April 30, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kos penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bermula 15hb hingga 24hb Ogos di Negeri Selangor dijangka akan dikurangkan hampir separuh daripada peruntukan asal.

Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, YB Mohd Najwan Halimi memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor peruntukan asal untuk menganjurkan temasya dwitahunan itu sebanyak RM100 juta.

Bagaimanapun, bagi menjunjung titah Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar SUKMA 2026 diteruskan dengan perbelanjaan yang berhemah maka Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakannya dengan kos sekitar RM40 juta hingga RM50 juta sahaja.

“Sekarang ini kita dalam proses merangka untuk pengurangan tersebut jadi banyak daripada pemotongan itu lebih kepada acara-acara bersifat ‘ceremonial’ (istiadat), kita kecilkan skala dan kita pastikan kos yang kita dapat ni adalah untuk kita laksanakan penganjuran sukan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui di Lobi Menara KBS selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026, hari ini.

“SUKMA ini bukan untuk kita raikan ahli-ahli politik tetapi untuk kita raikan atlet dan bakat-bakat muda yang berpotensi,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Najwan berkata pengurangan itu bakal menyaksikan upacara pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang dibatalkan dan dilaksanakan pada skala kecil di venue berlainan.

Pada masa yang sama, Najwan memberikan jaminan bahawa pengurangan kos itu tidak akan memberikan kesan kepada elaun yang bakal diterima oleh para sukarelawan serta piawaian terhadap pertandingan-pertandingan yang dipertandingkan.

“(Pengurangan kos) ini ada impak terhadap venue terutamanya venue (upacara) pembukaan, kita terpaksa batalkan upacara pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang yang telah diuar-uarkan sebelum ini, untuk upacara penutupan juga kita akan susun semula,”

“Kita ada bincang juga tadi, Insya-Allah pengurangan kos kita tidak akan memberikan kesan kepada elaun sukarelawan cuma kita terpaksa kecilkan (penyertaan) sukarelawan,” 

“Kita ada menerima pendaftaran untuk sukarelawan lebih daripada 30,000 orang dan memandangkan situasi terkini ini kita terpaksa kecilkan (pembabitan) sukarelawan itu mungkin di bawah 5,000 orang,”

“Daripada segi pertandingan dan (keperluan) teknikal akan dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan, kita tak nak jadikan subjek pengurungan kos ini menjadi asbab kepada kita untuk menurunkan piawaian penganjuran, walaupun kos dikurangkan, penganjuran acara (dan) sukan-sukan yang kita pertandingkan ini dilaksanakan mengikut piawaian yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, pihaknya sedang meneroka dan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang dimiliki KBS bagi mengurangkan lagi kos penganjuran.

Pada Ahad lalu, Sultan Selangor memberikan perkenan untuk meneruskan SUKMA 2026 dengan langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah setelah menerima menghadap Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Khamis minggu lalu.

Sebelum itu, baginda mencadangkan agar SUKMA 2026 ditangguhkan susulan krisis asia barat yang memberikan impak kepada ekonomi global dan Malaysia selesai dan Stadium Shah Alam yang baharu siap.

Featured Image: Facebook Taufiq Johari

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd