Raya Rangkul Anugerah Sarung Tangan Emas PL – 3 Kali Berturut-Turut
Hafiz Omar

Penjaga gol Arsenal, David Raya secara rasminya memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana (PL) 2025-26. Beliau sekurang-kurangnya akan berkongsi anugerah terbabit bersama penjaga gol Manchester City, Gianluigi Donnarumma.
Perkembangan ini hadir selepas Donnarumma bolos tiga gol ketika bertemu Everton, awal pagi tadi. Situasi itu menyebabkan Donnarumma kekal merekodkan 13 perlawanan tanpa bolos selepas Manchester City mengharungi 34 perlawanan musim ini.
Sekiranya Donnarumma beraksi dalam baki empat perlawanan musim ini, dan mengekang Manchester City daripada bolos sebarang gol dalam keempat-empat perlawanan itu maka Donnarumma hanya boleh merekodkan 17 “clean sheet” secara maksimum.
Pada saat ini, Raya telah pun mencatatkan 17 perlawanan tanpa bolos dan Arsenal masih mempunyai baki tiga perlawanan lagi.
Tonight’s result means David Raya is guaranteed a share of the Coca-Cola Golden Glove 🏆
Read more on the @Arsenal goalkeeper’s achievement 👇
— Premier League (@premierleague) May 4, 2026
Ini bermakna, Donnarumma tidak mampu memintas catatan “clean sheet” milik Raya bahkan Raya berpeluang untuk menjadi pemenang tunggal anugerah ini sekiranya merekodkan “clean sheet” dalam baki tiga perlawanan terbabit.
Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga berturut-turut Raya merangkul Anugerah Sarung Tangan Emas PL selepas mula memenanginya sejak musim 2023-24.
Pada musim lalu, Raya berkongsi anugerah ini dengan penjaga gol Nottingham Forest, Matz Sels selepas mencetak 13 perlawanan tanpa bolos masing-masing.
Untuk makluman, anugerah ini mula dipertandingkan sejak musim 2004-05 dan penjaga gol Chelsea, Petr Cech merupakan pemenang edisi sulung dengan catatan 24 perlawanan tanpa bolos – rekod “clean sheet” terbanyak sehingga ke hari ini.
Featured Image: Premier League