Ranking BWF: Zii Jia Lonjak 15 Anak Tangga
Hafiz Omar

Bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia kembali dalam kelompok 70 terbaik dunia selepas selesai beraksi dalam saingan Piala Thomas 2026.
Kemaskini Ranking Dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa menyaksikan kedudukan pemain kelahiran Kedah berusia 28 tahun berkenaan melonjak sebanyak 15 anak tangga sekaligus meletakkannya di ranking ke-67 dunia.
Lonjakan itu dicetuskan oleh pertambahan sebanyak 2,945 mata hasil beraksi pada peringkat kumpulan B, Piala Thomas di Horsens, pada minggu lalu.
Zii Jia diturunkan dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan bertemu Nadeem Dalvi (England), Ananda Galvani Daniswara (Finland) dan Koki Watanabe (Jepun) dan menyudahkannya dengan kemenangan.
Bagaimanapun, Zii Jia tidak sempat turun untuk beraksi pada peringkat suku akhir bertemu Weng Hong Yang selepas Malaysia disahkan tewas susulan ketinggalan 3-0 di tangan China selepas berlangsungnya tiga pertarungan awal.
Secara keseluruhan, Zii Jia kini telah mengumpul 24,715 mata dan meletakkannya sebagai Perseorangan Lelaki No.4 negara di belakang Leong Jun Hao (No.26), Justin Hoh (No.44) dan Aidil Sholeh (No.51).
Featured Image: Australia Open