Piala Dunia 2026: Unifi TV Siar Kesemua 104 Perlawanan Secara Langsung

May 6, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Teka-teki mengenai penyiar rasmi bagi kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico terjawab pada hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam satu sidang media sebentar tadi mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV selaku penyiar rasmi bagi kejohanan yang julung kalinya mempertandingkan 48 buah pasukan itu.

Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata Unifi TV akan menyiarkan kesemua perlawanan di kejohanan itu secara langsung sementara stesen televisyen milik kerajaan pula akan menyiarkan sebahagian daripadanya secara tertunda.

“Piala Dunia FIFA 2026 akan disiarkan di pelbagai platform termasuk ‘free-to-air’ melalui MYTV serta platform OTT menerusi RTM Klik dan Unifi TV bagi memastikan akses menyeluruh kepada penonton di seluruh negara.”

“Liputan menyeluruh merangkumi kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan samada secara langsung atau tertunda. Ini memberikan kepelbagaian pilihan tontonan kepada peminat.” katanya.

Dalam sidang media yang sama, beliau memaklumkan acara tontonan umum atau tayangan skrin besar akan turut dianjurkan di lokasi terpilih secara sederhana.

“Beberapa penaja utama yang bersama dalam usaha ini telah dikenalpasti dan sedang dimuktamadkan dan akan diumum dalam masa terdekat.” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan berharap agar Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 11hb Jun hingga 19hb Julai itu akan dapat menyatukan rakyat melalui semangat sukan dan kebersamaan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd