Astro Bincang Siar Perlawanan Piala Dunia FIFA 2026
Hafiz Omar

Selepas Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV selaku penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026, stesen televisyen berbayar, Astro tampil mengesahkan bidaannya terhadap penyiaran kejohanan itu ditolak.
Bagaimanapun, menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini, Astro memaklumkan pihaknya sedang dalam perbincangan dengan pemegang hak penyiaran rasmi bagi edisi ke-23 kejohanan berkenaan.
Perbincangan itu menjurus kepada penerokaan peluang untuk Astro menyiarkan perlawanan-perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 di platform-platformnya seperti Astro, NJOI dan Sooka.
Ianya bagi memperluaskan lagi jangkauan dan ketercapaian siaran Piala Dunia 2026 itu secara signifikan kepada jutaan rakyat Malaysia di rumah, premis perniagaan dan peranti mudah alih.
Sebagai rekod, penolakan bidaan daripada Astro itu menamatkan hak penyiaran Piala Dunia yang dipegang Astro selama 20 tahun. Astro turut menyatakan peningkatan kos, didorong oleh inflasi dan kenaikan hak penyiaran sukan antarabangsa.
Pada masa yang sama, kegiatan cetak rompak yang berleluasa telah mengurangkan nilai hak penyiaran tersebut kepada platform yang sah.