Pique Digantung 2 Bulan Daripada Aktiviti Bola Sepak
Hafiz Omar

Bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol dan legenda FC Barcelona, Gerard Pique kini digantung selama dua bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak rasmi di negaranya.
Memetik laporan BBC, bekas pemain berusia 39 tahun berkenaan dikenakan hukuman terbabit oleh Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) selepas terlibat dalam satu pertengkaran dengan pengadil.
Pique yang bersara sebagai pemain bola sepak profesional pada 2022 kini merupakan pemilik bersama FC Andorra yang beraksi dalam divisyen kedua bola sepak Sepanyol.
Dimaklumkan, pertengkaran dengan pengadil itu terjadi selepas kelabnya tewas tipis 0-1 di tangan Albacete pada Jumaat lalu.
Jawatankuasa Tatatertib memaklumkan Pique digantung atas alasan “tindakan terbuka yang menjejaskan maruah dan tatasusila sukan”.
Selain itu, Pique turut dikenakan hukuman berasingan iaitu gantung sebanyak enam perlawanan atas “perlakuan ganas yang kecil terhadap pengadil”.
Konfrontasi itu turut melibatkan beberapa staf FC Andorra.
Presiden FC Andorra, Ferram Vilaseca turut dikenakan penggantungan selama empat bulan sementara Pengarah Sukan, Jaume Nogues turut dihukum.
FC Andorra kini berada di tangga kesepuluh dalam carta divisyen kedua bola sepak Sepanyol.
Featured Image: FC Andorra