Bekas Tonggak Bayern Munich Umum Persaraan Pada Usia 30 Tahun
Hafiz Omar

Bekas tonggak Bayern Munich yang kini beraksi bersama Borussia Dortmund, Niklas Süle akan bersara sebagai pemain bola sepak profesional apabila saingan bola sepak musim ini melabuhkan tirainya.
Pertahanan berusia 30 tahun itu mengumumkan hasratnya untuk bersara menerusi satu pengumuman dalam sesi pod siar, Spielmacher, sepertimana turut dilaporkan oleh laman sesawang rasmi Bundesliga, hari ini.
Süle menjelaskan bahawa dia telah mempertimbangkan pilihan itu sejak sekian lama, tetapi dia akhirnya membuat keputusan selepas mengalami kecederaan lutut ketika menentang bekas kelab, TSG Hoffenheim pada pertengahan April lalu.
View this post on Instagram
Sebagai rekod, Süle memulakan karier bola sepak peringkat senior bersama Hoffenheim pada 2012 sebelum menyertai Bayern pada 2017 dan berhijrah ke Dortmund pada 2022.
Setakat hari ini, Süle telah merekodkan 299 penampilan dalam saingan Bundesliga. Kemuncak kariernya adalah ketika bersama Bayern dengan menjuarai lima kejuaraan Bundesliga, empat Piala Super Jerman, dua kejuaraan Piala Jerman serta satu kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA masing-masing.
Sementara itu, bersama skuad kebangsaan Jerman, Süle pernah tampil sebanyak 49 kali bermula dari Ogos 2016.