Barcelona Pertahan Kejuaraan La Liga – Trofi Ke-5 Era Flick
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di Catalonia iaitu FC Barcelona berjaya mempertahankan kejuaraan La Liga selepas mengalahkan seteru utamanya, Real Madrid pada awal pagi tadi.
Barcelona bimbingan Hansi Flick dari Jerman melakar kemenangan 2-0 dalam aksi yang turut digelar sebagai El Clasico hasil jaringan Marcus Rashford (9’) dan Ferran Torres (18’).
Dua jaringan pada aksi ke-35 liga di tempatnya sendiri, Camp Nou sudah memadai buat Barcelona mengesahkan gelaran juara La Liga bagi musim 2025-26 biarpun masih berbaki tiga perlawanan lagi.
Kemenangan itu membolehkan skuad blaugrana mengumpul 91 mata dan ianya sudah tidak mampu dipotong lagi oleh penghuni tangga kedua La Liga, Real Madrid biarpun tewas dalam baki tiga perlawanan musim ini.

Untuk makluman, Real Madrid kini berada di tangga kedua dengan pungutan 77 mata – tertinggal 14 mata dengan Barcelona.
Menariknya, kejayaan mempertahankan kejuaraan La Liga ini turut menjadikan Barcelona kini telah merangkul 29 gelaran La Liga dalam sejarahnya.
Bagaimanapun, Real Madrid masih mempertahankan statusnya sebagai kelab paling berjaya dalam kancah La Liga dengan 36 gelaran juara.
Untuk makluman, sejak Flick membimbing Barcelona dari tahun 2024, menggantikan Xavi Hernandez, Barcelona telah menjulang lima trofi termasuk Supercopa 2024-25 dan 2025-26 serta Copa del Rey 2024-25.
Featured Image: FC Barcelona