Pengendali Curacao Letak Jawatan Sebulan Sebelum Piala Dunia

May 12, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan yang bakal membuat penampilan pertama dalam kancah Piala Dunia, Curacao mencetuskan kejutan apabila ketua jurulatihnya, Fred Rutten meletakkan jawatan sebulan sebelum berlangsungnya kejohanan berprestij tersebut.

Pengumuman peletakan jawatan itu disahkan sendiri oleh Persekutuan Bola Sepak Curacao (FFK) menerusi satu kenyataan yang disiarkan di akaun X rasminya, awal pagi tadi.

“Persekutuan Bola Sepak Curacao (FFK) mengumumkan bahawa Fred Rutten telah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Curacao susulan daripada perbincangan konstruktif bersama pimpinan persekutuan.” tulis kenyataan media itu.

FFK menjelaskan bahawa topik dalam perbincangan itu tidak melibatkan jurulatih berusia 63 tahun secara langsung namun Rutten memilih untuk meletakkan jawatan bagi melindungi kestabilan dan hubungan profesional yang sihat bersama skuad dan staf-staf.

Sebagai rekod, Rutten baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih Curacao sekitar penghujung Februari lalu – mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali sebelumnya, Dick Advocaat.

Rutten sempat mengendalikan dua perlawanan iaitu bertemu Australia dan China dalam aksi persahabatan antarabangsa pada bulan Mac dimana kedua-duanya berakhir dengan kekalahan.

Terdahulu, Curacao di bawah bimbingan Advocaat mencipta sejarah layak beraksi di pentas Piala Dunia buat julung kalinya selepas mengungguli saingan peringkat kelayakan – muncul juara Kumpulan C tanpa sebarang kekalahan mahupun seri.

Featured Image: Federashon Futbol Korsou

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd