Terbuka Thailand: Sze Fei-Izzuddin Singkir Wakil Jepun

May 13, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasil menempah tiket ke pusingan 16 di Terbuka Thailand selepas berhempas pulas menentang Hiroki Okamura dan Kyohei Yamashita.

Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan selaku pilihan ketiga di kejohanan bertaraf Super 500 bermula dengan langkah kanan mencatatkan kemenangan 21-15 pada set pertama.

Namun, pada set kedua, pasangan dari Jepun yang mula bergandingan sekitar pertengahan Mac lalu bangkit mencetak kemenangan menerusi skor 21-17 sekaligus mengheret Sze Fei-Izzuddin ke set penentuan.

Pada set penentuan, Sze Fei-Izzuddin mengakhiri pertarungan dengan kemenangan menerusi skor 21-12. 

Pertarungan itu memakan masa 56 minit sebelum Sze Fei-Izzuddin muncul sebagai pemenang dalam pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan itu.

Bagi aksi seterusnya, Sze Fei-Izzuddin yang menghuni tangga kesembilan dalam Ranking Dunia akan berhadapan dengan wakil China, Huang Di dan Liu Yang – penghuni tangga ke-35 dunia.

Gandingan dari negara tembok besar itu mara selepas mengalahkan pasangan tuan rumah, Chaloempon Charoenkitamorn dan Worrapol Thongsa-Nga secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-8 dalam masa 36 minit.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd