Inter Milan Raih Kejuaraan Berganda Di Itali
Hafiz Omar

Kelab bimbingan Cristian Chivu iaitu Inter Milan melengkapkan gelaran juara berganda dalam kancah bola sepak Itali apabila menjuarai saingan Coppa Italia 2025-26.
Kejuaraan itu menjelma susulan Inter merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Lazio dalam perlawanan akhir yang berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia.
Salah satu daripada gol itu terhasil menerusi jaringan sendiri oleh Adam Marusic pada minit ke-14 berikutan tertanduk bola sepakan penjuru Federico Dimarco ke dalam gawang sendiri.
Manakala satu lagi gol disumbat masuk dengan mudah oleh Lautaro Martinez pada minit ke-35 setelah menerima hantaran daripada Denzel Dumfries dalam kotak penalti.
Campionato ✅
Coppa Italia ✅
🏆🏆 pic.twitter.com/7YG8dnJHMe— Inter ⭐⭐ (@Inter) May 13, 2026
Terdahulu, Dumfries mengambil peluang merampas bola daripada kawalan lemah Nuno Tavares sebelum berlari menuju ke dalam kotak penalti.
Tiada sebarang pertambahan jaringan selepas daripada detik itu termasuk pada separuh masa kedua.
Sebagai rekod, ini juga merupakan kejuaraan Copa Italia ke-10 buat Inter Milan dalam sejarah penubuhannya.
Kejayaan menjulang kejuaraan domestik berganda ini merupakan yang pertama dilakar Inter selepas melakukannya pada tahun 2010 di bawah kendalian Jose Mourinho.
Pada Isnin minggu lalu, Inter mengesahkan gelaran juara Serie A selepas mencetak kemenangan 2-0 ke atas Parma dengan berbaki tiga perlawanan musim ini.
Featured Image: Inter Milan