Selangor Jumpa Juara Bertahan, Rebut Piala Shopee 25-26

May 14, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC berpeluang untuk menjulang sekurang-kurangnya satu gelaran juara musim ini apabila mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Kejuaraan Kelab ASEAN Piala Shopee 2025-26.

Kemaraan itu menjelma selepas Selangor bimbingan Kim Pan-gon melakar kemenangan 4-1 secara agregat ke atas Nam Dinh FC pada peringkat separuh akhir.

Turut menyumbang kepada keputusan itu adalah kemenangan 2-0 hasil jaringan berganda daripada penyerang tonggaknya, Chrigor Moraes pada minit ke-40 dan ke-90 masing-masing pada aksi timbal balik di Stadium Thien Truong, pada malam tadi.

Pada aksi pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), skuad berjulukan Gergasi Merah melakar kemenangan 2-1 juga hasil jaringan berganda Moraes pada minit ke-38 dan ke-58.

Selangor akan membuat perhitungan dengan kelab gergasi Liga Thailand merangkap juara bertahan iaitu Buriram United FC bagi merebut Piala Shopee musim ini.

Buriram sekali lagi mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Shopee selepas berhempas pulas mengekang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 4-3 secara agregat.

Pada perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung pada 6hb Mei lalu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), kelab berjulukan Thunder Castle itu telah melakar kemenangan selesa 3-1 hasil jaringan berganda Guilherme Bissoli (34’, 90+4’) dan satu gol daripada Goran Causic (45+2’).

Namun begitu, pada perlawanan timbal balik di Stadium Buriram pada malam tadi, JDT berjuang habis-habisan dan melakar kemenangan 2-1 hasil jaringan Bergson da Silva (45+9’) dan Marcos Guilherme (62’).

Perlawanan turut berlangsung sengit dan tegang sehinggakan dua pemain Buriram; Bissoli dan Causic diarahkan keluar padang pada masa tambahan dan memaksa mereka beraksi dengan sembilan pemain sahaja.

Walaupun mencatatkan kemenangan, jaringan JDT dalam perlawanan itu tidak dapat mengatasi Buriram secara agregat sekaligus tersingkir daripada kejohanan ini.

Perlawanan akhir Piala Shopee akan dijalankan secara timbal balik dan aksi pertama dijadualkan pada 20hb Mei diikuti aksi kedua pada 27hb Mei.

Featured Image: ASEAN United FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd