Legenda Badminton, Teh Kew San Meninggal Dunia Usia 91 Tahun

May 14, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Arena badminton tanah air menerima satu perkhabaran yang mendukacitakan apabila bekas pemain berstatus legenda, Datuk Teh Kew San meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Perkhabaran mendukacitakan melibatkan kapten skuad kebangsaan yang menjulang kejuaraan Piala Thomas 1967 itu dikongsikan oleh badan induk, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hari ini.

Itu merupakan salah satu daripada lima edisi Piala Thomas yang pernah dijuarai Malaysia (termasuk semasa beraksi sebagai Malaya) selain edisi 1949, 1952, 1955 dan 1992.

Mendiang merupakan seorang pemain yang versatil serta hebat beraksi dalam pelbagai acara samada perseorangan, beregu lelaki mahupun beregu campuran.

Selain bergelar juara Piala Thomas, karier Kew San turut dihiasi kejayaan-kejayaan lain di pentas antarabangsa seperti menjuarai saingan All England 1959 (beregu lelaki), pingat emas Sukan Asia 1962 (perseorangan) dan pingat emas Sukan Asia 1962 dan 1965 (berpasukan lelaki).

“Sumbangan dan legasinya akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah penting badminton Malaysia,” tulis kenyataan BAM.

Dalam hantaran yang sama, Ahli Majlis BAM, barisan pengurusan, para pemain dan staf turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta kenalan rapat atas pemergian tersebut.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd