MFL Mohon Khidmat Pengadil Luar Negara Untuk Perlawanan Akhir Piala Malaysia

May 15, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Perlawanan merebut gelaran juara Piala Malaysia 2025-26 melibatkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC akan diadili oleh pengadil luar negara.

Pengelola liga domestik, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan telah memohon empat pengadil luar negara merangkumi dua pembantu pengadil dan satu pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) kepada badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).  

Permohonan itu dilakukan bagi memilih pengadil terbaik untuk mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-99 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNB) pada 23hb Mei kelak.

Pihak MFL telah membuat permohonan rasmi kepada FAM untuk mendapatkan empat pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil dan satu pengadil VAR (Video Bantuan Pengadil).” 

“Keputusan untuk menggunakan kepakaran pengadil luar negara ini dibuat sebagai langkah untuk memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik selain menjamin integriti dan kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.” 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Malaysian Football League (@mfl_my)

“Kemuncak aksi final Piala Malaysia ini sudah pasti perlawanan yang berprofil tinggi jadi dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa, saya percaya ia akan meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong.” 

“Malah dengan kehadiran pengadil luar negara ini, ia juga sebagai pertukaran kepakaran di mana pengadil tempatan dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dalam usaha kita membangunkan kualiti pengadil tempatan,” kata Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.

Tambah Ab Ghani, keputusan ini juga dibuat rentetan cadangan penggunaan pengadil luar negara yang dibangkitkan dalam sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga yang berlangsung pada 29 April lalu.

Ini bukanlah julung kalinya MFL mendapatkan khidmat pengadil luar negara bagi mengadili perlawanan domestik. Sebelum ini, MFL pernah menggunakan khidmat pengadil luar negara ketika perlawanan akhir Piala FA 2019 yang menemukan Kedah dan Perak.

Perlawanan yang berakhir dengan Kedah melakar kemenangan 1-0 ke atas Perak itu diadili oleh Takuto Okabe dari Jepun sambil dibantu dua penolong pengadil yang merupakan rakan senegaranya, Akane Yagi dan Osamu Nomura.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd