Ancelotti Lanjut Kontrak Bersama Brazil Sehingga Piala Dunia 2030
Hafiz Omar

Skuad kebangsaan Brazil akan terus menggunakan khidmat Carlo Ancelotti sebagai ketua jurulatihnya sehingga ke kejohanan Piala Dunia FIFA 2030.
Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) dan Carlo Ancelotti bersetuju untuk melanjutkan kontrak selama empat tahun lagi selepas jurulatih berusia 66 tahun kelahiran Itali itu mula melatih skuad berjulukan Selecao pada Mei tahun lalu.
“Saya tiba di Brazil setahun yang lalu. Bermula detik itu, saya memahami apa maknanya bola sepak terhadap negara ini. Selama setahun, saya telah bekerja untuk membawa skuad kebangsaan Brazil kembali ke puncak dunia.”
“Tetapi CBF dan saya mahukan lebih lagi. Lebih (banyak) kemenangan, lebih (banyak) masa, bekerja lebih banyak. Kami berbesar hati mengumumkan bahawa kami akan terus bekerjasama untuk empat tahun lagi. Kita akan bersama-sama ke Piala Dunia 2030.” kata bekas pengendali Real Madrid itu.
Sejak tiba di Brazil, Ancelotti telah mengendalikan 10 perlawanan dan Brazil di bawah bimbingannya merekodkan lima kemenangan, dua seri dan tewas sebanyak tiga kali.
Di samping itu, juara dunia sebanyak lima kali itu turut merekodkan 18 gol dan bolos lapan gol.