Kontrak Xabi Alonso Bersama Chelsea Sehingga 2030

May 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara Piala Dunia Kelab FIFA 2025, Chelsea yang berpangkalan di London mengesahkan melantik Xabi Alonso sebagai pengurusnya yang baharu sehari selepas tewas perlawanan akhir Piala FA 2025-26 di tangan Manchester City.

Pelantikan itu diumumkan secara rasmi oleh Chelsea menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasminya selain dikongsikan di pelbagai akaun media sosialnya.

Dalam kenyataan itu, Chelsea atau turut dijuluki sebagai The Blues memaklumkan Alonso akan memulakan tugasnya pada 1hb Julai kelak dengan kontrak selama empat tahun yang akan menyaksikannya kekal sehingga tahun 2030.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Chelsea FC (@chelseafc)

Alonso yang pernah beraksi bersama Liverpool, Real Madrid dan Bayern Munich sebagai pemain berstatus bintang memulakan kerjayanya dalam bidang kejurulatihan bersama Real Sociedad B pada tahun 2019.

Namanya mencuri perhatian apabila membimbing Bayer Leverkusen menjuarai Bundesliga buat julung kalinya sejak kelab itu diasaskan serta menjulang DFB-Pokal (Piala Jerman) buat pertama kali selepas tiga dekad.

Selain itu, skuad berjulukan Die Werkself itu turut melakar rekod tanpa kalah sebanyak 51 melibatkan pertandingan domestik dan peringkat eropah.

Selepas tiga musim bersama Bayer Leverkusen, khidmatnya ditandatangani oleh gergasi Sepanyol, Real Madrid pada Mei 2025 dengan kontrak selama tiga musim namun jodohnya bersama Real Madrid berakhir selepas lapan bulan.

Featured Image: Bundesliga

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd