Aznil Bidin Tersenarai Dalam Program RTG

May 19, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Aznil Bidin tersenarai buat julung kalinya dalam Program Road To Gold (RTG) selepas menduduki ranking keenam dunia.

Bermula tahun ini, kriteria untuk melayakkan seseorang itu menyertai program RTG adalah samada menghuni kelompok lapan terbaik dalam Ranking Dunia atau menduduki kelompok lapan terbaik dalam Kejohanan Dunia atau meraih pingat di Sukan Asia atau Sukan Komanwel. 

Aznil, 31 tahun, menyertai 14 lagi atlet lain dalam senarai Program RTG iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei, Aniq Kasdan, Shah Firdaus, Ng Eain Yow dan Sivasangari Subramaniam.

Sementara itu, pihak RTG turut menjelaskan pengekalan nama Shah yang menjalani pembedahan lutut tahun lalu biarpun tercicir daripada kedudukan lapan terbaik dunia.

“Ini kerana mengikut kontrak, RTG mengambil kira tahap kecederaan, tempoh pemulihan serta tempoh kembali bertanding, sehingga enam bulan. Shah juga telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan baru-baru ini, beliau menduduki tempat kedua dalam pertandingan Piala Trek Jepun (Japan Track Cup) minggu lalu.” kata Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq dalam sidang media di Menara KBS, sebentar tadi.

Bagi nama Eain Yow, walaupun berada di luar kedudukan lapan terbaik dalam Ranking Dunia, namun namanya tersenarai dalam lapan atlet terbaik untuk proses kelayakan ke Sukan Olimpik 2028 – jika mengikut kepada ranking negara.

Sebagai tambahan, Dr. Taufiq turut berkongsikan bahawa mulai tahun ini, RTG akan menjadi program sepenuh masa berbanding sebelum ini yang merupakan program “top-up”. 

Elemen-elemen program penuh ini termasuk elaun prestasi, elaun RTG, gaji jurulatih, pendedahan pertandingan, pengurusan pusat latihan khusus, program pembangunan, perkhidmatan sokongan berdedikasi dan sokongan sains & sukan.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd