Hisamitsu Rai Hari Salonpas Menerusi Kejohanan Pickleball
Hafiz Omar

Setiap tahun, tarikh 18hb Mei diraikan sebagai Hari Salonpas – sebuah sambutan global yang mencerminkan komitmen berterusan Salonpas dalam membantu komuniti bergerak dengan lebih selesa.
Tarikh ini membawa makna yang besar di Jepun kerana nombor “5” dikaitkan dengan “kori” (kekejangan) dan nombor “18” pula “iyasu” (melegakan) dimana apabila digabungkan menjadi frasa “Kori wo Iyasu” iaitu “melegakan kekejangan”.
Bersempena dengan ulangtahun Salonpas ke-92 sejak dilancarkan pada tahun 1934, pemilik produk iaitu Hisamitsu Pharmaceutical Co. Int. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hisamitsu Pharmaceutical Malaysia Sdn. Bhd. mengumumkan usahasama pertamanya bersama PLAYA Racquet Club @ PARC Subang menerusi acara, Salonpas Day Pickle & Patch pada Isnin lalu.

Acara itu mengumpulkan pengamal-pengamal media tempatan daripada pelbagai agensi berentap dalam kejohanan pickleball menerusi format campuran liga sepusingan dan peringkat kalah mati.
Kerjasama ini merupakan permulaan bagi inisiatif lebih luas untuk bekerjasama dengan rakan industri sukan dan kesejahteraan di seluruh Malaysia sekaligus mendekatkan Salonpas dengan komuniti gaya hidup aktif serta mengukuhkan peranannya sebagai teman pemulihan yang boleh dipercayai.
Dalam acara itu, Hisamitsu Pharmaceutical berbesar hati mengumumkan Salonpas telah diiktiraf oleh Euromonitor International sebagai jenama No.1 dunia bagi koyok melegakan kesakitan yang mencatat jualan tertinggi buat kali ke-10 sejak 2016.
Sementara itu, Hisamitsu Pharmaceutical pula diiktiraf sebagai syarikat famaseutikal yang menguasai pegangan pasaran terbesar di dunia dalam kategori yang sama sembilan tahun berturut-turut.