Aston Villa Bimbingan Unai Emery Juarai Liga Europa 2025-26

May 21, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang berpangkalan di Birmingham, England iaitu Aston Villa muncul juara Liga Europa 2025-26 selepas menundukkan lawannya, SC Freiburg dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Istanbul, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Skuad bimbingan Unai Emery itu melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas kelab dari Jerman itu menerusi jaringan Youri Tielemans (40’), Emiliano Buendia (45+2’) dan Morgan Rogers (57’).

Kejuaraan itu sekaligus mengakhiri kemarau kejuaraan di pentas eropah lebih empat dekad Villa setelah menjuarai European Cup edisi 1981-82 hasil menumpaskan Bayern Munich.

Selain itu, mereka juga menamatkan kemarau gelaran juara bagi kejohanan utama selepas muncul juara Piala Liga musim 1995-96 dengan mengalahkan Leeds United di Stadium Wembley. 

Sementara itu, bagi Emery pula, ini merupakan kejuaraan Liga Europa kelima buat dirinya sendiri sejak berkecimpung dalam bidang kejurulatihan setelah menjuarainya bersama Sevilla pada musim 2013-14, 2014-15, 2015-16 serta ketika mengemudi Villarreal pada musim 2020-21.

Hasil kejuaraan ini, Villa mendapat slot automatik ke Peringkat Liga (League Phase) bagi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim hadapan. 

Mereka juga layak untuk merebut Piala Super UEFA 2026, perlawanan pembukaan tirai musim baharu bola sepak eropah, yang akan berlangsung pada 12hb Ogos di Salzburg, Austria.

The Villans akan menantikan pemenang UCL musim ini antara Paris Saint-Germain (PSG) atau Arsenal.

FEATURED IMAGE: Aston Villa

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd