Cristiano Ronaldo Juarai Liga Pro Saudi Bersama Al Nassr

May 22, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo berjaya merangkul kejuaraan Liga Pro Saudi (SPL) buat julung kalinya sejak menyertai Al Nassr pada Disember 2022.

Kejuaraan itu menjelma setelah Al Nassr melakar kemenangan 4-1 ketika bertemu Damac pada aksi terakhir liga musim ini, pada awal pagi waktu Malaysia.

Dalam aksi tersebut, Ronaldo turut mencetak jaringan berganda pada minit ke-62 dan ke-80 selepas Sadio Mane dan Kingsley Coman meledak dua jaringan awal pada minit ke-33 dan ke-51 masing-masing. 

Kemenangan itu membolehkan Al Nassr menamatkan kempen SPL musim ini dengan mengumpul 86 mata daripada 34 perlawanan, kelebihan dua mata berbanding pencabar terdekatnya, Al-Hilal yang dibintangi Malcom, Theo Hernandez, Ruben Neves dan Yassine Bounou.

Al Nassr berpeluang untuk mengesahkan kejuaraan SPL ketika bertemu Al-Hilal pada minggu lalu. Bagaimanapun, kecuaian penjaga gol, Bento pada masa kecederaan telah menyebabkan perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan mengheret penentuan kejuaraan liga pada minggu ini.

Ini merupakan kejuaraan liga yang kesebelas buat Al Nassr sejak kelab itu diasaskan pada tahun 1955.

Bagi Ronaldo pula, ini merupakan kejuaraan liga domestik yang kelapan diraihnya selepas merangkul kejuaraan Liga England (2006-07, 2007-08 & 2008-09), Liga Sepanyol (2011-12 & 2016-17) dan Liga Itali (2018-19 & 2019-20).

FEATURED IMAGE: Al Nassr

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd