Man Utd Umum Carrick Sebagai Ketua Jurulatih Tetap
Hafiz Omar
Bekas pemain tengah, Michael Carrick sah mengemudi Manchester United (Man Utd) secara tetap bermula saat ini.
Perkembangan itu hadir selepas kelab berjulukan Red Devils mengumumkan Carrick, 44 tahun, telah menandatangani kontrak baharu sebagai ketua jurulatih sehingga tahun 2028.
Kontrak diberikan kepada Carrick, sebelum ini dilantik sebagai ketua jurulatih sementara, selepas membawa Man Utd kembali beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas dua musim tidak beraksi dalam kancah bola sepak elit eropah itu.
Pada masa yang sama, Carrick juga telah memastikan Man Utd menamatkan kempen Liga Perdana (PL) musim ini di tempat ketiga – kali terakhir meraih pencapaian sedemikian tiga musim lalu.
Sejak dilantik sebagai ketua jurulatih sementara sekitar pertengahan Januari lalu, Carrick telah mengendalikan 16 perlawanan dimana 11 daripadanya berakhir dengan kemenangan.
“Michael sememangnya layak diberikan peluang untuk terus memimpin pasukan lelaki kami. Sepanjang beliau memegang peranan ini, kami bukan sahaja menyaksikan keputusan positif di atas padang, malah pendekatan yang selari dengan nilai, tradisi dan sejarah kelab ini.
“Kejayaan Michael membawa kelab kembali ke saingan UEFA Champions League tidak seharusnya dipandang ringan. Beliau telah membina hubungan yang kukuh bersama para pemain dan boleh berbangga dengan budaya kemenangan di Carrington serta di bilik persalinan, yang terus kami bina bersama.” kata Pengarah Bola Sepak Man Utd, Jason Wilcox.
Carrick akan mengendalikan perlawanan pertamanya sebagai ketua jurulatih tetap pada Ahad ini, aksi ke-38 PL, bertemu Brighton & Hove Albion di Stadium American Express.
FEATURED IMAGE: Manchester United