Pep Guardiola, Man City Berpisah Selepas Sedekad

May 22, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pengurus yang membimbing Manchester City (Man City) memenangi 20 trofi, Pep Guardiola akan meninggalkan kelab kelab berjulukan The Cityzen apabila berakhir saingan bola sepak musim ini.

Pengumuman itu disahkan sendiri oleh Man City menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada Jumaat – dua hari sebelum perlawanan terakhir Liga Perdana (PL) menentang Aston Villa.

Guardiola, 55 tahun, mula membimbing Man City pada Julai 2016. Beliau mempunyai baki kontrak sehingga Jun 2027 namun menggunakan klausa pelepasan dalam kontraknya – meninggalkan pasukan setahun lebih awal.

Man City melabelkan jurulatih kelahiran Catalan itu sebagai pengurus terbaik dalam sejarah kelabnya setelah menjulang enam trofi Liga Perdana (PL), lima trofi Piala Liga, tiga trofi Piala FA, tiga Perisai Komuniti serta satu trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA masing-masing.

Bukan itu sahaja, era Guardiola turut menyaksikan Man City mencipta rekod mengumpul mata 100 mata dalam saingan liga musim 2017-18 – tertinggi dalam sejarah sejak PL ditubuhkan.

Musim berikutnya, Guardiola membawa Man City menjadi kelab pertama yang menjulang kesemua trofi pertandingan domestik iaitu Perisai Komuniti, Piala Liga, Piala FA dan Liga Perdana.

Musim paling cemerlang Guardiola bersama Man City hadir pada musim 2022-23 dimana mereka berjaya meraih gelaran ‘treble’ menerusi kejuaraan Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara UEFA – kelab kedua England melakukannya selepas Manchester United.

Dalam pengumuman yang sama, walaupun meletakkan jawatan di penghujung musim ini, Guardiola akan memainkan peranan baharu sebagai Duta Global City Football Group (CFG).

Peranan itu bakal menyaksikan Guardiola akan memberikan nasihat teknikal kepada kelab-kelab di bawah CFG serta bekerjasama dalam projek dan kolaborasi tertentu.

FEATURED IMAGE: Manchester City

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd