JDT Raih Gelaran ‘Quadruple’ Keempat Berturut-Turut
Hafiz Omar

Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tanah air dengan mencetak gelaran “quadruple” buat kali keempat berturut-turut selepas mengesahkan kejuaraan Piala Malaysia 2025-26.
Gelaran juara Piala Malaysia edisi ke-99 itu menjadi milik JDT berjulukan Harimau Selatan selepas mengalahkan kelab dari Borneo, Kuching City FC dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.
Perlawanan yang dihadiri 50,032 penonton itu menyaksikan JDT meledak tiga gol menerusi Marcos Guilherme serta pemain gantian, Arif Aiman pada minit ke-81 dan ke-90+1 masing-masing.
Kedudukan itu berkekalan sehingga pengadil dari Qatar, Ahmed Al-Shammari meniup wisel menamatkan permainan sekaligus mengesahkan gelaran juara buat anak-anak buah Xisco Munoz.
Ini merupakan kejuaraan Piala Malaysia kali keenam dijulang JDT selepas menjuarainya pada musim 2017, 2019, 2022, 2023 dan 2024-25.
Pada masa yang sama, JDT juga mencipta sejarah selaku kelab pertama yang merangkul kejuaraan Piala Malaysia sebanyak empat kali berturut-turut.
Sementara itu, gelaran “quadruple” kali keempat berturut-turut tercipta susulan JDT menyapu kesemua trofi, Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super sejak musim 2022, 2023 dan 2024-25.
FEATURED IMAGE: Johor Southern Tigers