Heberty Tinggalkan Johor Darul Ta’zim

June 3, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Perjalanan penyerang kelahiran Brazil iaitu Heberty bersama kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) menemui titik noktahnya.

Perkembangan itu hadir selepas pemain berusia 37 tahun itu mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Selatan menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya.

“Selepas tiga tahun yang tidak dapat dilupakan, tibalah masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang istimewa ini.” kata peledak yang pernah beraksi bersama beberapa kelab dalam saingan Liga Thailand sebelum ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain, jurulatih-jurulatih, staf, pekerja dan kesemua penyokong yang menyokong saya sehingga hari terakhir dan semua orang yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.” tulisnya lagi.

“Penghargaan istimewa kepada TMJ (DYAM Tunku Mahkota Ismail) atas sokongan, kepercayaan, kebaikan dan semua detik-detik yang kita kongsikan bersama. Satu penghormatan besar untuk mewakili kelab ini dan menyarung jersi (JDT).” tambahnya. 

Heberty diperkenalkan sebagai pemain JDT pada Julai 2023 selepas berpindah daripada Bangkok United FC.

Sejak daripada saat itu, Heberty telah merekodkan 74 penampilan serta meledak 30 gol bersama JDT – menurut statistik daripada Transfermarkt.

Sepanjang tempoh itu juga, Heberty turut meraih lima gelaran kejuaraan dalam pertandingan domestik iaitu Liga Super (2023, 2024-25 dan 2025-26) dan Piala Malaysia (2023 dan 2025).

FEATURED IMAGE: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd