Aaron-Kai Wun, Wooi Yik-Wei Chong Bergandingan Di Terbuka Jepun?

June 5, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang bergandingan sejak sekitar penghujung 2017 dilihat bakal berpisah bermula saingan Terbuka Jepun 2026 yang dijadualkan berlangsung 14hb hingga 19hb Julai kelak.

Ini selepas dokumen senarai awal pemain ke babak undian utama dan kelayakan (M&Q) bagi kejohanan bertaraf Super 750 itu menyenaraikan Aaron dan Wooi Yik digandingkan dengan pemain lain masing-masing.

Aaron, 29 tahun, digandingkan dengan Tee Kai Wun, 26 tahun. Sementara itu, Wooi Yik, 28 tahun, pula menjadi pasangan kepada Man Wei Chong, 26 tahun.

Penyenaraian itu pastinya menimbulkan tanda tanya samada ianya merupakan pemisahan buat sementara waktu atau kekal.

Setakat ini, tiada sebarang makluman atau penjelasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai pemisahan dan gandingan yang dibentuk itu. 

Sekiranya pemisahan itu kekal bermakna aksi Aaron-Wooi Yik bertemu Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin di pusingan 16, Terbuka Indonesia 2026, pada Khamis menjadi yang terakhir selepas hampir sembilan tahun bersama.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd