Negeri Sembilan FC Guna Khidmat Ketua Jurulatih Import
Hafiz Omar

Kelab yang menamatkan saingan Liga Super 2025-26 di tangga ketujuh, Negeri Sembilan FC akan menggunakan khidmat ketua jurulatih dari luar negara pada musim hadapan.
Bagaimanapun, identiti pengendali berkenaan masih menjadi misteri namun calon tersebut sudah mendapat kelulusan Pengerusi Negeri Sembilan FC, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
“(Calon) pilihan ketua jurulatih dah ada, Dato’ Seri Utama Pengerusi dan luluskan dan akan umum dalam masa terdekat. Jurulatih luar negara.” kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus menerusi akaun Facebook peribadinya.
Dalam perkongsian itu, Faliq memaklumkan K. Rajan dan Khairul Ismail kekal sebagai Penolong Ketua Jurulatih bagi membolehkan mereka menimba pengalaman sebaik yang mungkin daripada jurulatih dari luar negara berkenaan.
Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya Negeri Sembilan FC menggunakan ketua jurulatih import sejak Faliq mengepalai barisan pengurusan skuad berjulukan Hobin Jang Hobin.
Sebelum ini, Negeri Sembilan FC menggunakan khidmat Azzmi Ab Aziz, K. Nanthakumar, Nidzam Jamil dan terakhir K. Rajan.
Bercakap mengenai skuad bagi musim 2026-27, Faliq mendedahkan ianya hampir lengkap dengan empat hingga lima orang sahaja lagi yang perlu dimuktamadkan.
Skuad itu masih mengekalkan kesemua pemain dari Jepun kecuali Mio Tsuneyasu sambil diperkuatkan dengan kehadiran penyerang dan pertahanan baharu.