Mehmet Durakovic Kembali Ke Kancah Liga Malaysia
Hafiz Omar
Individu yang membimbing Selangor FA dan Perak FA menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2015 dan 2018 masing-masing, Mehmet Durakovic kembali dalam kancah Liga Malaysia.
Perkembangan itu hadir susulan Imigresen FC (IFC) mengumumkan Mehmet, 60 tahun, sebagai ketua jurulatihnya yang baharu untuk mengharungi musim 2026-27 menggantikan Yusri Che Lah.
“Pelantikan ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen kelab untuk terus berkembang, memperkukuhkan daya saing serta mengangkat pasukan ke tahap yang lebih tinggi.”
“Dengan pengalaman, kepakaran dan rekod yang dimiliki, pihak pengurusan yakin Mehmet mampu membawa dimensi baharu serta menyuntik semangat juang yang lebih kental dalam pasukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IFC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan.
View this post on Instagram
Ini merupakan kepulangan semula Mehmet kelahiran Australia ke kancah bola sepak Malaysia selepas meninggalkan Perak FC (sebelum itu sebagai Perak FA) sebelum bermulanya musim 2021.
Selain menjulang Piala Malaysia, Mehmet turut membawa Selangor FA muncul naib juara Liga Super pada musim 2014 dan 2015. Sementara itu, bersama Perak FA, Mehmet membimbing skuad berjulukan The Bos Gaurus muncul naib juara Liga Super 2018 dan Piala FA 2019.
Pada musim lalu, IFC menamatkan kempen Liga Super di tangga keenam di bawah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC.
FEATURED IMAGE: Malaysian Football League