Ranking BWF: Juara Terbuka Indonesia 2026 Huni Tangga Keenam Dunia

June 9, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki negara yang berstatus profesional, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin kini kembali ke tangga keenam dunia selepas menjuarai Terbuka Indonesia 2026.

Sze Fei-Izzuddin kembali menjejakkan kaki di tangga keenam dunia buat julung kalinya selepas menghuninya buat kali terakhir pada 18hb Disember, tahun lalu.

Mereka kembali ke kedudukan itu, melonjak dua anak tangga berbanding minggu lalu, selepas meraih tambahan 12,000 mata hasil menjuarai salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 1000 berkenaan.

Pungutan mata itu membolehkan Sze Fei-Izzuddin mengumpul 78,937 daripada sepuluh pertandingan terbaik yang disertai dalam tempoh 52 minggu lalu. 

Pada Ahad lalu, Sze Fei-Izzuddin meraih gelaran juara selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin menerusi skor 13-21, 21-18 dan 21-10.

Selain mengutip pungutan mata yang besar serta meraih ganjaran wang tunai yang lumayan, AS$107,300 (~RM432,443), kejayaan itu turut menamatkan kemarau selama 18 tahun beregu lelaki Malaysia untuk bergelar juara di Terbuka Indonesia.

Sebagai rekod, gandingan Zakry Abdul Latif dan Fairuzizuan Tazari merupakan wakil Malaysia yang terakhir muncul juara dalam kategori beregu lelaki di Terbuka Indonesia pada edisi 2008.

FEATURED IMAGE: Victor

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd