Piala Dunia: Jerman Belasah Curacao 7-1
Hafiz Omar

Juara dunia empat kali, Jerman memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan bergaya apabila membelasah Curacao pada aksi pertama peringkat Kumpulan E, awal pagi tadi.
Aksi yang berlangsung di Stadium Houston itu bermula dengan jaringan Felix Nmecha seawal minit keenam menerusi gerakan satu dua dengan Florian Wirtz.
Bagaimanapun, selang 15 minit kemudian, Curacao bimbingan Dick Advocaat berhasil menyamakan kedudukan menerusi penyudah oleh Livano Comenencia di dalam kotak penalti menewaskan Manuel Nuer.
Akan tetapi, penyamaan itu hanya bertahan selama 17 minit sahaja sebelum Jerman menambah jaringan hasil tandukan Nico Schlotterbeck setelah menerima bola sepakan sudut daripada Nathaniel Brown.
Sebelum kedua-duanya menuju ke bilik persalinan, pengadil dari Maghribi, Jalal Jayed menghadiahkan sepakan penalti kepada Jerman berikutan Nmecha dikasari.
Penyerang Arsenal, Kai Havertz menyudahkan sepakan penalti itu dengan cemerlang untuk membolehkan Jerman mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Jerman meneruskan pesta golnya dengan Jamal Musiala menambah jaringan keempat pada minit ke-47.
Brown menambah jaringan kelima buat Jerman pada minit ke-68 menyudahkan gerakan kombinasi melibatkan Wirtz dan Deniz Undaz.
Tidak cukup dengan jaringan-jaringan itu, Undaz yang masuk sebagai pemain gantian menambah kedukaan pada minit ke-78 buat Curacao apabila menolak masuk hantaran lintang pendek daripada Joshua Kimmich.
Havertz menutup pesta gol Jerman menerusi jaringan kedua peribadinya pada minit ke-88 menerusi satu sungkitan dalam kotak penalti setelah menerima lorongan daripada Undav.
Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga mencetak kemenangan besar di pentas Piala Dunia selepas memalukan tuan rumah, Brazil menerusi skor 7-1 pada 2014 dan menumpaskan Arab Saudi 8-0 pada edisi 2002.
Untuk aksi seterusnya, Jerman akan turun berentap menentang Ivory Coast sementara Curacao pula akan berhadapan Ecuador pada 21hb Jun.
FEATURED IMAGE: Germany Football Team