Piala Dunia: Iran, New Zealand Seri

June 16, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan yang menghuni tangga ke-20 dunia, Iran sekadar mengutip satu mata daripada aksi pertamanya di Piala Dunia FIFA 2026 selepas mencatatkan keputusan seri ketika bertemu New Zealand, hari ini.

Aksi melibatkan Kumpulan G itu bermula dengan New Zealand yang menghuni ranking ke-85 dunia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol oleh Elijah Just pada minit ke-7.

Bagaimanapun, Iran bimbingan Amir Ghalenoei berhasil menyamakan kedudukan menerusi pertahanan kanannya, Ramin Rezaeian pada minit ke-32 dan kedudukan itu berkekalan sehingga berakhirnya separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, New Zealand kembali mendahului apabila Elijah yang beraksi dalam kancah bola sepak Scotland meledak satu lagi jaringan pada minit ke-55.

Tersentak dengan jaringan itu, New Zealand mula meningkatkan serangannya ke arah gawang lawan dan usaha itu tidak mengambil masa yang lama apabila tandukan cantik Mohammad Mohebi berhasil menerjah ke dalam gawang pada minit ke-64.

Perlawanan bersambung dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke arah gawang lawan masing-masing. Akan tetapi, Iran dilihat lebih mendominasi gerakan menyerang namun percubaan-percubaannya banyak dipatahkan atau dihadang oleh pertahanan New Zealand. 

Kedudukan 2-2 itu berkekalan sehingga pengadil, Cesar Arturo Ramos meniup wisel menamatkan permainan di Stadium Los Angeles.

Aksi seterusnya, Iran akan bertemu Belgium manakala New Zealand pula akan menentang Mesir pada 22hb Jun.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd