Piala Dunia: England Langkah Kanan, Kane Cetak 2 Gol
Hafiz Omar

Skuad England bimbingan Thomas Tuchel memulakan kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan langkah kanan – membantai naib juara edisi 2018, Croatia dengan keputusan 4-2.
Aksi melibatkan Kumpulan L itu bermula dengan skuad berjulukan Tiga Singa membuka tirai jaringan menerusi gol penalti oleh kaptennya, Harry Kane pada minit ke-12.
Namun, Croatia kendalian Zlatko Dalic bangkit menyamakan kedudukan menerusi ledakan dari luar kotak penalti oleh Martin Baturina pada minit ke-36 menjadikan kedudukan semasa 1-1.
Selang enam minit kemudian, Kane meletakkan kembali England di hadapan apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru Declan Rice. Namun, pendahuluan itu tidak bertahan lama susulan Petar Musa menyudahkan gerakan kreatif yang dimulakan Ivan Perisic untuk menjadikan skor 2-2 sebelum menuju ke bilik persalinan.
View this post on Instagram
Bersambung separuh masa kedua, England mula meningkatkan asakannya dan rembatan Jude Bellingham dari kanan padang berhasil mengalahkan penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic pada minit ke-47.
Tidak terhenti setakat itu, England meneruskan asakannya sambil melakukan pertukaran dengan memasukkan Bukayo Saka, Marcus Rashford, Morgan Rogers dan Djed Spence.
Pertukaran itu membuahkan hasil yang positif dengan Rashford meledak jaringan keempat buat England pada minit ke-85 selepas menerima lorongan dari Saka.
Kedudukan 4-2 itu berkekalan sehingga pengadil perlawanan dari Perancis, Clement Turpin meniup wisel menamatkan permainan di Stadium Dallas, Arlington.
Aksi seterusnya, England akan turun menentang Ghana sementara Croatia akan berhadapan Panama pada 24hb Jun masing-masing.
FEATURED IMAGE: England Football Team