Nafuzi, FAM Setuju Tamat Kontrak
Hafiz Omar

Pemenang gelaran Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi Zain kini tidak lagi berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23).
Perkembangan ini hadir selepas badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia memaklumkan menerusi satu kenyataan bahawa pengendali berusia 47 tahun berkenaan mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak.
“Hari ini, saya mengumumkan pengunduran saya sebagai Ketua Jurulatih skuad B23 tahun. Semestinya bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sebuah pasukan yang begitu dekat di hati.”
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perjalanan karier saya. Terutamanya kepada pihak pengurusan, staf sokongan serta pemain dan juga penyokong yang sentiasa ada di belakang saya memberi sokongan dan semangat yang tidak berbelah bahagi.” kataya menerusi perkongsian oleh akaun media sosial, Malaysia NT.
Sepertimana Peter Cklamovski, Nafuzi turut diumumkan oleh FAM untuk membimbing skuad B-23 sekitar pertengahan Disember 2024 – salah satu daripada perancangan “revolusi” skuad Harimau Malaya.
Pencapaian terbaik Nafuzi sepanjang bersama skuad B-23 adalah meraih pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025.
Dalam kenyataan yang sama, FAM turut memaklumkan jurulatih penjaga gol Skuad B-23, Mohd Yazid Mohd Yassin turut mengikuti jejak langkah Nafuzi – menamatkan kontrak dengan persetujuan bersama.
FEATURED IMAGE: Malaysia NT